Perkembangan industri ternakan lembu, khususnya menggunakan kaedah fidlot yang dilaksanakan melalui transformasi sektor pertanian negara membuka pelbagai peluang bukan saja dalam aktiviti ternakan dan pemprosesan daging, malah turut mewujudkan peluang sampingan.
Sebagai contoh, ia turut mewujudkan peluang dalam industri pembuatan makanan ternakan, pembekalan baka ternakan terpilih serta rawatan sisa kumbahan najis dan mengolahnya menjadi baja organik.
Bagi seorang anak muda, Syed Mohd Faizal Datuk Syed Sobri, 27, lulusan bidang Perakaunan dan Kewangan Dublin Business School, Ireland, beliau melihat perkembangan industri penternakan lembu secara fidlot yang diperkenalkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) melalui Projek Lembah Daging di Gemas, Negeri Sembilan dan ladang satelit di seluruh negara membuka satu peluang kepadanya untuk mengeluarkan makanan ternakan.
Biarpun pekerjaannya agak kotor kerana memproses makanan ternakan daripada pelepah kelapa sawit, berbanding tawaran gaji lumayan yang diterimanya daripada sebuah bank asing di ibu negara, kerana minat dalam bidang keusahawanan Syed Mohd Faizal memilih untuk berkecimpung di bidang itu sejak beberapa bulan lalu.
Malah, beliau juga tidak mahu menumpang kesenangan bapanya yang juga seorang ahli perniagaan terkenal di Kedah, sebaliknya berazam berusaha sendiri, biar pun tidak mempunyai latar belakang pendidikan atau latihan di bidang yang diceburinya itu.
Beliau melalui syarikatnya, Nakasia Feedmills Sdn Bhd (Nakasia) menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) serta Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) dalam pengeluarannya itu.
Syed Mohd Faizal berkata, makanan ternakan yang dihasilkan syarikat itu agak istimewa kerana ia dirumuskan menggunakan campuran pelepah kelapa sawit dengan jerami padi, vitamin serta garam galian supaya makanan yang dihasilkan lengkap untuk tumbesaran lembu dan kambing.
Katanya, makanan ternakan yang dihasilkan dalam bentuk palet itu dihasil melalui 30 peratus campuran pelepah kelapa sawit yang dikeringkan.
Kilang Nakasia yang sudah beroperasi sejak lebih tiga bulan lalu mendapat bekalan pelepah kelapa sawit dari ladang kelapa sawit berhampiran di Lubuk Merbau dan Sungai Temiang.
"Kini Nakasia mampu menghasilkan lebih dua tan makanan ternakan sehari dan berhasrat meningkatkannya kepada tujuh tan sehari tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di kilangnya, di Naka, baru-baru ini.
Pada peringkat awal ini syarikat itu menjual produk makanan ternakan berkenaan di sekitar daerah Padang Terap dan bercadang memasarkan produk itu ke negeri lain.
Kini beliau boleh berbangga dengan usaha kerasnya itu apabila produk keluaran Nakasia semakin mendapat permintaan daripada penternak, selain daripada JPH dan Mardi sendiri.
Syed Mohd Faizal berkata, produk makanan ternakan keluaran syarikatnya lebih istimewa berbanding jenama lain yang ada di pasaran kerana haiwan ternakan hanya perlu makan dalam kuantiti yang sedikit tanpa menjejaskan tumbesarannya, sekali gus menjadikan ia ekonomik.
"Makanan yang kita keluarkan lengkap dengan pelbagai vitamin yang diperlukan ternakan, malah formula yang digunakan memudahkan penternak kerana mereka tidak perlu menambah vitamin seperti palet keluaran syarikat lain.
"Ia sekali gus menjimatkan masa dan kos penternak," katanya.
Beliau berkata, perkembangan industri ternakan fidlot membuka potensi yang luas untuk syarikat sepertinya berkembang, selain dapat membantu negara mengurangkan pengimportan bahan makanan ternakan yang bernilai berjuta-juta ringgit setiap tahun.
Malah, pembabitan beliau itu selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang ingin menjadikan pertanian satu perniagaan.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment