Pengenalan
Kontrak Pemasaran ialah satu ikatan persetujuan di antara pengeluar dan FAMA, di mana FAMA bersetuju memasarkan hasil pertanian yang dibekalkan oleh pengeluar dengan syarat-syarat yang dipersetujui bersama.
Pengeluar yang layak mendapat kemudahan ini adalah pengeluar-pengeluar jenis tanaman, ikan dan ternakan yang menjadi tumpuan FAMA.
Melalui kontrak pemasaran ini, pengeluar hasil-hasil pertanian akan dapat memberi tumpuan kepada usaha pengeluaran, sementara aktiviti pemasaran dikendalikan oleh FAMA.
Pengkhususan tugas ini dirancang supaya dapat meningkatkan keyakinan pengeluar dan boleh menaikkan kadar produktviti serta kualiti hasil yang dikeluarkan.
Perkhidmatan pemasaran yang disediakan oleh FAMA termasuk perkhidmatan sokongan seperti penyebaran maklumat pasaran, dan penyediaan kemudahan infrastruktur seperti Pusat Pengumpulan Ladang, Pusat Pemasaran dan Pusat Pengedaran. Perkhidmatan-perkhidmatan ini dibentuk supaya dapat membantu pengeluar mengeluarkan hasil pertanian yang berkualiti dan yang dapat memenuhi kehendak pasaran.
MATLAMAT
Program kontrak pemasaran diadakan dengan matlamat-matlamat berikut:
Untuk mewujudkan peluang pasaran yang terjamin kepada pengeluar yang terlibat di dalam pengeluaran hasil pertanian
Menyediakan bekalan produk pertanian yang berkualiti secara berterusan di pasaran
Menyediakan bekalan yang seimbang supaya harga keluaran pertanian dapat distabilkan
Mempercepatkan proses pembinaan teknologi dan sistem pelabelan hasil pertanian
Untuk membangunkan usahawan tani yang berdaya maju
KAEDAH PELAKSANAAN
Kontrak pemasaran dilaksanakan melalui tiga cara seperti berikut:
Konsep Jaminan Pasaran Mengikut Peratus
- Pengeluar menggunakan modalnya sendiri dalam sesuatu projek pertanian
- Belian FAMA tidak melebihi 50% dari jumlah hasil yang dikeluarkan. Perkiraan 50% berdasarkan hari kutipan
- Sebagai contoh, keluaran hasil pertama 100% pengeluaran dijual kepada FAMA dan keluaran hasil kedua 100% dijual kepada pembeli lain, atau sebaliknya, sehingga habis keluaran
- Belian FAMA berdasarkan kuantiti, gred, varieti, kualiti dan spesifikasi yang telah ditetapkan
Kaedah ini sesuai digunakan oleh pengeluar komersil yang telah mempunyai pasaran sedia ada, tetapi ingin meningkatkan pengeluaran serta menambah peluang pasarannya.
Konsep Jaminan Pasaran 100 Peratus
- Pengeluar menggunakan modalnya sendiri untuk mengusaha projek pertanian
- FAMA bertanggungjawab membeli semua hasil keluaran yang memenuhi spesifikasi yang telah dipersetujui bersama
- Pengeluar tidak boleh menjual hasil kepada pembeli lain
Kaedah ini sesuai digunakan oleh pengeluar yang berkeupayaan dan mempunyai modal untuk mengusahakan projek pertanian sendiri, tetapi belum mempunyai peluang pasaran untuk hasil yang dikeluarkan.
Konsep Perkongsian Modal
- FAMA akan membiayai modal dalam bentuk benih keluaran pertanian terpilih atau makanan ternakan sahaja
- Pengeluar bertanggungjawab mengeluarkan hasil pertanian dan FAMA akan membeli hasil keluaran yang memenuhi spesifikasi yang telah dipersetujui bersama
- Pengeluar tidak boleh menjual hasil keluaran kepada pembeli lain
- Pengeluar akan mendapat pulangan setelah ditolak kos modal yang dibekalkan oleh FAMA
Kaedah ini sesuai digunakan oleh pengeluar yang berpengalaman dan memiliki tanah sendiri, tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi serta tiada saluran pemasaran.
CARA PEMBAYARAN BALIK
Bagi projek pertanian yang mengeluarkan hasil sekali sahaja, bayaran balik modal FAMA perlu dibuat sepenuhnya semasa hasil pertanian tersebut dijual. Cara pembayaran balik adalah seperti jadual di bawah:
BELIAN HASIL PERATUSAN BAYARAN / POTONGAN MINIMUM
Kali Pertama 30% daripada nilai invois belian (70% dipulangkan kepada pengeluar)
Kali Kedua 30% daripada nilai invois belian (70% dipulangkan kepada pengeluar)
Kali Ketiga 40% daripada nilai invois (60% dipulangkan kepada pengeluar)
Kali Keempat dan seterusnya 40% daripada nilai invois belian (60% dipulangkan kepada pengeluar)
Pengeluar yang dibiayai FAMA dan tidak mendapat hasil akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya dikira masih berhutang dengan FAMA sehingga pembayaran selesai dibuat.
Dalam hal ini, pengeluar dinasihatkan supaya menyambung projeknya sehingga berjaya. FAMA boleh mengeluarkan pembiayaan kali kedua kepada pengeluar tersebut, tertakluk kepada percapaian, kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan.
Bagi pemberian wang pendahuluan kedua, Pejabat FAMA Negeri mesti mendapat persetujuan daripada Ibu Pejabat FAMA terlebih dahulu dengan memberi maklumat lengkap seperti tahap pelaksanaan projek, kuantiti dan kualiti hasil keluaran, serta kesungguhan dan minat petani bagi meneruskan kerjasama dengan pihak FAMA.
Pembiayaan benih dan pendahuluan wang tunai yang diberi kepada pengeluar tidak dikenakan apa-apa faedah.
KUMPULAN SASARAN
Petani/Peladang/Penternak individu
Projek berkelompok
Pengeluar komersil
Projek-projek di bawah agensi kerajaan
PERKHIDMATAN SOKONGAN FAMA
Kemudahan infrastruktur
Infrastruktur disediakan di peringkat ladang bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan pemasaran. Kemudahan yang disediakan ialah Pusat Pengumpulan Ladang yang berfungsi sebagai tempat menjalankan aktiviti pengendalian lepas tuai, penggredan, pembungkusan dan pelabelan. Peralatan yang sesuai akan disediakan mengikut keperluan aktiviti pengendalian tersebut.
Maklumat Pasaran
Maklumat pasaran disediakan sebagai panduan dan bahan rujukan bagi memudahkan pengeluar membuat keputusan berkaitan dengan pengeluaran dan pemasaran. Maklumat pasaran yang disediakan adalah seperti berikut:
- Maklumat harga (di peringkat ladang, borong dan runcit)
- Maklumat bekalan dan permintaan
- Kajian potensi pasaran
- Senarai perantara pasaran
Khidmat Nasihat dan Rundingan
Khidmat nasihat disediakan bagi membantu dan memudahkan pengeluar membuat keputusan memilih jenis tanaman atau ternakan yang ingin diusahakan dan yang memenuhi keperluan dan kehendak pasaran. Panduan pemasaran juga disediakan bagi memudahkan pengeluar memasarkan hasil keluarannya dengan lebih berkesan.
Penerokaan dan Pembangunan Pasaran
Penerokaan dan pembangunan pasaran dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengeluar mendapat pasaran bagi hasil yang dikeluarkannya. Aktiviti ini dijalankan di dalam dan di luar negara melalui misi perdagangan, promosi, pameran, ekspo dan lawatan.
PERMOHONAN MENYERTAI KONTRAK PEMASARAN
Semua pemohon yang ingin menyertai program ini perlu mengemukakan borang permohonan KP-1 ke pejabat FAMA yang berdekatan. Pemohon perlu menandatangani perjanjian sekiranya permohonannya diluluskan.
SYARAT KELAYAKAN
Warganegara Malaysia
Berumur 18 tahun ke atas
Pengeluar sepenuh masa
Pemilikan tanah yang sah
Berpengalaman dalam bidang yang diceburi
JENIS TERNAKAN YANG DIBERI TUMPUAN
Jenis Ternakan
1.Lembu
2.Kambing
3.Puyuh
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment