MPOB-HIE adalah asid lemak sawit tersuling (PFAD) yang diformulasi dengan bahan tambah lain. Ia berperanan sebagai sumber lemak tambahan di dalam rumusan rangsum ternakan lembu tenusu.
Penambahan MPOB-HIE di dalam rangsum lembu tenusu dapat meningkatkan ketumpatan tenaga dengan kadar penghadzaman yang tinggi dan memberi kesan positif kepada peningkatan hasil susu, serta mengurangkan masalah metabolik dan reproduktif kepada lembu penusu.
MPOB-HIE boleh dikategorikan sebagai “rumen inert fat” berdasarkan ciri-ciri kimia yang dimiliki oleh MPOB-HIE. “Rumen inertness” bermaksud interaksi di antara lemak bersama mikrob di dalam rumen pada kadar yang paling rendah tanpa mengganggu metabolisme mikrob dan ianya juga tidak mengurangkan populasi mikrob yang berperanan menghadzamkan selulusa kepada rantaian asid lemak pendek, asitik, propionik dan butyrik.
Oleh sebab itu, MPOB-HIE amat sesuai digunakan sebagai sumber lemak tambahan ternakan lembu tenusu. Berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas lembu tenusu Jersey, didapati bahawa lembu yang diberi makan rangsum ternakan olahan MPOB-HIE menghasilkan purata kuantiti susu tertinggi iaitu 15.14 liter sehari berbanding lembu yang memakan rangsum dengan tambahan garam kalsium PFAD.
Jumlah pepejal dan jumlah pepejal tanpa lemak daripada lembu yang diberi makan rangsum MPOB-HIE adalah yang tertinggi (P<.05) dengan nilai 12.82% dan 9.08% berbanding rangsum lain.
Jumlah lemak dalam susu dihasilkan dari lembu Jersey yang diberi garam kalsium PFAD di dalam rangsum adalah yang tertinggi dan berbeza signifikan terhadap rangsum kawalan tetapi tidak terdapat perbezaan dengan MPOB-HIE (P>.05).
Sebagai kesimpulan, MPOB-HIE adalah tenaga pelengkap yang efektif terhadap lembu tenusu dalam meningkatkan penghasilan susu dan juga ia lebih bagus berbanding garam kalsium PFAD.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment