United Kingdom sedang mengalami kemelesetan ekonomi yang amat teruk. Pengangguran sudah melebihi dua juta. Diantara yang menganggur terdapat hampir 700,000 ahli profesional.
Melihat keadaan ini saya khuatir profesional Malaysia juga ramai yang akan menganggur.
Berbilion pound sterling sedang digunakan oleh Kerajaan United Kingdom untuk memulihkan semula ekonomi. Tetapi tindakan ini tidak berkesan. Tidak dapat tidak United Kingdom dan lain-lain negara maju akan menjadi miskin.
Sebenarnya pendapatan per kapita yang mereka banggakan dahulu tidak mencerminkan kekayaan mereka yang sebenar. Kekayaan mereka dahulu adalah hasil penipuan oleh pemain pasaran wang.
Perkiraan purata mereka tidak memberi gambaran yang benar. Oleh kerana terdapat bilangan yang kaya yang begitu ramai maka perkiraan purata (average) per kapita mereka meningkat.
Ini dapat kita lihat apabila seorang daripada seribu orang menjadi jutawan dan 999 menganggur, jika diambil pendapatan purata bagi 1,000 orang ini, pendapatan tiap seorang daripada mereka ialah seribu Dollar. Jelas yang angka per kapita yang disebut tadi menyembunyi pendapatan yang amat rendah bagi majoriti rakyat negara yang dikatakan kaya ini. Apatah lagi dengan billionaire yang begitu ramai di negara kaya.
Sekarang orang yang kaya sudah tidak kaya lagi. Justeru itu pendapatan per kapita negara kaya ini akan jatuh dengan teruk.
Mereka tidak akan dapat pulih kekayaan mereka sehingga bertahun-tahun. Ini adalah oleh kerana membuat wang yang banyak melalui penipuan seperti dahulu tidak lagi akan dapat membantu pemulihan. Pedagang matawang umpamanya tidak lagi boleh menekan nilai matawang seperti pada 1997-98 dan mendapat keuntungan berbilion ringgit dalam masa yang singkat.
Bank tidak lagi boleh beri pinjaman kepada orang yang tidak berkemampuan bayar hutang (sub-prime) untuk untung besar. Dan banyaklah cara-cara penipuan yang lain yang melibat hedge funds dengan derivatives mereka yang tidak lagi dapat memperkayakan mereka.
Kerana cara-cara buat duit cepat dan banyak ini tidak lagi terbuka pada mereka, ramai yang akan tidak sekaya dahulu. Ada yang sudah bunuh diri pun.
Sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara dan per kapita akan turun dan kekal di paras yang rendah buat bertahun-tahun. Harapan mereka bahawa melalui bailout mereka akan pulih seperti sebelum kegawatan tidak akan jadi kenyataan.
Malangnya kemiskinan mereka akan mempunyai kesan kepada seluruh dunia termasuk Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment